Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di sebuah sekolah yang melindungi pelarian, di kem pelarian Beach di Bandar Gaza. - Foto REUTERS |
PALESTINE, INVIEW.ID - Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan tenntera Israel melancarkan serangan terbaharu menyasarkan kem dan tempat perlindungan pelarian Palestin, menyebabkan 40 mangsa maut selain 58 cedera dala tempoh 24 jam.
Katanya, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan ramai lagi cedera akibat pengeboman Israel ke atas Sekolah Kafr Qasim di kem pelarian Shati menempatkan ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal.
Tentera Israel turut mengebom sekolah Khalid bin al-Walid yang terletak di tengah Gaza dan Sekolah Kafr Qasim di utara wilayah terkepung itu, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh penduduk Palestin terbunuh dan ramai cedera.
Korban nyawa itu berlaku sehari selepas 22 penduduk Palestin maut dalam serangan ke atas sekolah lain yang dijadikan pusat perlindungan pelarian Palestin, malah diisytihar sebagai 'zon selamat' oleh tentera Israel sendiri.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga melakukan serbuan ke atas bandar dan kampung di seluruh Tebing Barat yang didudukinya, hanya sehari selepas memaksa pejabat biro Al Jazeera di Ramallah ditutup.
Sementara itu, Agensi berita Wafa Palestin melaporkan Israel menyasarkan serangan di beberapa lokasi lain malam tadi, antaranya kem pelarian Qalandiya berhampiran Baitulmaqdis serta melepaskan gas pemedih mata dan merampas rakaman kamera pengawasan.
Selain itu, tentera Israel turut menahan seorang lelaki Palestin selepas menggeledah rumahnya di kampung Tabqa di Dura.
Serbuan Israel juga dilaporkan di bandar Idhna yang menyasarkan kem pelarian Al-Fawar dan bandar Yatta, selatan Hebron, namun tiada sebarang tangkapan dilaporkan.
Sementara itu, radio tentera Israel dan stesen penyiar Kan melaporkan, Netanyahu sedang meneliti rancangan menggunakan taktik pengepungan terhadap Hamas di utara Gaza.
Timbalan Setiausaha Agung Kumpulan Hizbullah, Naim Qassem, berkata pihaknya kini sudah memasuki fasa 'pertempuran balas terbuka' dengan Israel.
Beliau, yang jarang dilihat di khalayak umum, muncul ketika pengebumian seorang komander tertinggi yang terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut pada Jumaat lalu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berikrar melakukan segala usaha yang mampu untuk 'mengelakkan perang lebih luas daripada merebak'.
Mesir dan Qatar selaku negara pengantara gencatan senjata Hamas-Israel bersama AS, turut menyuarakan kebimbangan akan berlaku 'perang serantau habis-habisan'
Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom dan lain-lain negara barat juga senada menggesa supaya perang antara Israel dan Hizbullah diselesaikann segera.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 41,431 orang terbunuh dan 95,818 cedera dalam perang Israel ke atas Gaza. Israel mengatakan jumlah yang terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober ialah 1,139 mangsa manakala lebih 200 lagi diculik.
Sabtu lalu, tentera Israel melancarkan 400 serangan ke atas Lubnan dan Hizbullah membalas serangan dengan melancarkan roket ke pangkalan udara Ramat David berhampiran bandar Haifa.
Ini adalah serangan berbalas tembakan terbesar antara Israel dan Hizbullah, yang memulakan serangan sebagai tanda solidariti dengan rakan pejuang Hamas yang menyerang israel pada 7 Oktober lalu.{***}